Assalamualaikum wr..Hai..! Seperti yang di janjikan pada
entri yang lepas, kali ini saya bawakan lanjutan kisah seorang pemuda di zaman
Rasulullah s.a.w iaitu Saad AsSulami. Pada entri yang lepas, kita dah sampai
pada bahagian di mana Saad AsSulami telah dikahwinkan oleh Rasulullah s.a.w
dengan puteri Amr bin Wahb, Atiqah. Kata Johan Raja Lawak, “tendang pun tak
kena, cakap banyak pun tak guna” (hehehe)..Mari kita ikuti lanjutan kisah Saad
AsSulami..!
Diriwayatkan semasa Saad AsSulami ingin membelikan oleh-oleh
buat bakal isterinya, dia terdengar seruan Rasulullah s.a.w, “Keluarlah untuk berjihad, keluarlah untuk
jihad”. Maka dia melihat ke langit
dan berdoa : Ya Allah, Tuhan pencipta langit dan bumi, Tuhannya Muhammad s.a.w,
aku akan mempergunakan wang ini pada sesuatu yang lebih disukai oleh Allah dan
Rasulullah dan kepentingan kaum mukiminin.
Lalu wang hantaran untuk melamar puteri Amr bin Wahb
digunakan untuk membeli kuda, pedang, tombak dan perisai, lalu Saad AsSulami
mempererat ikatan serbannya dan ikat pinggangnya serta memakai topi baja,
sehingga hampir tidak terlihat kecuali bulat matanya. Lalu dia berdiri tegak di
tengah-tengah barisan Muhajirin, sehingga mereka yang lainnya tertanya-tanya siapakah
pengendara kuda yang belum kami kenal itu?
Saiyidina Ali r.a berkata : Biarkan, kemungkinan dia dari
Bahrain atau dari Syam, dia datang untuk menanyakan ajaran-ajaran agama, kerana
itu dia kini ingin mengorbankan diri untuk keselamatanmu.
Kemudian Saad AsSulami maju ke barisan musuh dengan
menggunakan pedang dan memenggal orang-orang kafir, sehingga tidak kuat kudanya
dan dia terpaksa turun dari kuda sambil menyingsing lengannya. Ketika
Rasulullah s.a.w dapat melihat hitam lengannya langsung baginda mengenalinya
dan dipanggil : Apakah kamu Saad? Jawabnya : Ya, benar. Nabi s.a.w bersabda :
Untung nasibmu.
Dan terus dia menikam dengan tombak dan membunuh dengan
pedangnya, sehingga jatuh gugur mati syahid. Maka Rasulullah s.a.w menuju
kepadanya lalu diangkat kepalanya dan diletakkan di pangkuan Nabi s.a.w sambil
diusap-usap tanah yang melekat di mukanya dan bersabda : Alangkah harum baumu,
alangkah kasihnya Allah dan Rasulullah kepadamu.
Kemudian Nabi s.a.w menangis lalu tertawa, lalu memalingkan
mukanya dan bersabda : Kini dia telah sampai di haudh (telaga), demi Tuhan yang mempunyai Kaabah. Abu Lubabah
bertanya : Ya Rasulullah, apakah haudh?
Jawab Nabi s.a.w : Telaga yang diberikan Allah kepadaku, lebarnya antara Yaman
hingga Bushra, tepinya berhias dengan permata dan mutiara, airnya lebih putih
dari susu dan rasanya lebih manis dari madu. Siapa yang minum satu kali
daripadanya tidak akan haus untuk selamanya.
Lalu ditanya : Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis
lalu tertawa kemudian berpaling muka daripadanya. Jawab Nabi s.a.w : Tangisku
kerana rinduku kepada Saad, adapun tawaku kerana gembira melihat kemuliaan yang
diberikan padanya oleh Allah dan adapun aku berpaling muka kerana melihat bakal
isteri-isterinya dan bidadari berebut mendekatinya sehingga terbuka betis
mereka, maka segera aku berpaling muka kerana malu. Kemudian Nabi s.a.w
menyuruh mengumpulkan pedang, tombak dan kudanya untu diserahkan kepada calon
isterinya sambil diberitahu : Bahawa Allah telah mengahwinkan Saad AsSulami
pada bidadari yang lebih cantik dari puterimu. Wallahu alam.
Itulah kisah seorang pemuda yang berkulit hitam bernama Saad
AsSulami ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Kepada rakan pembaca, jadikanlah
kisah ini sebagai tauladan kepada kita kerana saya rasa dengan kisah ini kita
dapat muhasabah diri kita sendiri, hisab diri kita sendiri sejauh mana telah
kita korbankan wang, tenaga, masa bahkan diri kita sendiri untuk agama Allah.
Pengorbanan kita tidak di ukur dengan rupa paras kita sama ada lawa ataupun
tidak, cantik ataupun hodoh, banyak ataupun sedikit tetapi pengorbanan kita
diukur berdasarkan keikhlasan kita untuk berkorban semata-mata kerana Allah.
Bukan saya kata kita perlu berkorban sepertimana para
sahabat-sahabat terdahulu, perlu mengangkat senjata menentang musuh-musuh Allah. Cuma pengorbanan
kita perlu dimulakan pada diri sendiri. Pengorbanan dalam melawan dua musuh
utama kita, nafsu dan godaan syaitan itu yang perlu terlebih dahulu. Maka
berjayalah orang-orang yang dapat menumpaskan kedua-duanya. Insya-allah.
Rasanya dah terlalu panjang penutup kali ini. Minta
maaf. Jadi, akhir kata dari saya “bulatkan
tekad, berbekalkan iman ilmu dan amal..insyaallah berjaya”.
Assalamualaikum.
alhamdulillah..syukran ya akhi..insya-allah akan di ingat pesan akhi sentiasa..
BalasPadam