Ahad, 4 Disember 2011

Layakkah Aku Di SisiMu

Ya Allah,
Betapa banyak anugerah dan kurniaanMu yang telah Engkau berikan kepadaku
Andai dibanding dengan air di lautan takkan dapat dinilai dengan semua kurniaanMu
Namun mengapa sering sahaja aku lalai untuk mengingatiMu
Lalai untuk mengucapkan kesyukuran kepadaMu
Leka dalam melaksanakan segala perintahMu
Sedangkan hakikatnya aku adalah seorang hamba
Hamba yang kerdil lagi hina di hadapanMu..
Layakkah aku di sisiMu..???

Ya Allah
Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani hambanya
Pintu Rahmat dan TaubatMu terbuka buat semua hambaMu
Buat hamba yang sentiasa menginginkan rahmat dan maghfirahMu
Namun mengapa sering sahaja hati ini tertutup untuk mencarinya
Sedangkan aku tahu bahawa hidup di dunia ini hanya sementara
Hanya untuk mencari bekalan yang secukupnya
Buat bekalan untuk kehidupan ukhrawi yang kekal abadi..
Layakkah aku di sisiMu..??

Ya Allah
Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Yang mengetahui segala yang tersirat dan tersurat
Yang mengetahui perkara yang zahir dan batin
Namun mengapa sering sahaja diri ini bergelumang dengan dosa
Sedangkan aku tahu bahawa azabMu amat pedih
Buat hamba yang engkar akan perintahMu..
Layakkah aku di sisiMu..??

Ya Allah
Layakkah Aku di sisiMu
Yang sentiasa penuh dengan debu dosa
Yang sentiasa alpa mengingatiMu
Namun aku yakin kepadaMu
PertolonganMu amat dekat
Buat hamba-hambaMu
Oleh itu, bantulah hambaMu ini
Dalam mencari erti kehidupan yang sebenar
Berlandaskan syariat agamaMu
Semoga Engkau sentiasa meredhaiku...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan